Festival Teater Malaysia 2026

Mengenali lebih dekat misi, visi dan usaha kami dalam memperkasakan anak seni dan menyebarkan bakti melalui seni.

Ruang, Rasa dan Rakyat: Kebangkitan Semula Teater Malaysia

Selepas hampir tujuh tahun senyap — kali terakhir diadakan pada 2019 — Festival Teater Kebangsaan kini kembali menggegar pentas seni negara melalui Festival Teater Malaysia (FTM) 2026. Anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), festival ini bukan sekadar pertandingan, tetapi satu usaha besar untuk menghidupkan semula ekosistem teater Bahasa Malaysia yang dilihat semakin merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Kebudayaan dan Kesenian JKKN, Mohd Radzi Omar, keputusan menghidupkan semula festival ini dibuat berikutan kejayaan penganjuran Festival Tari Kebangsaan awal tahun ini. JKKN kini merancang untuk menganjurkan kedua-dua festival ini secara bergilir — satu tahun Festival Tari, dan tahun berikutnya Festival Teater.

“Kami akan menganjurkannya secara bergilir, satu tahun Festival Tari, dan tahun berikutnya Festival Teater.” — Mohd Radzi Omar, Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian), JKKN

Satu isu yang cuba ditangani JKKN ialah nasib kumpulan teater yang sering terbubar selepas sesuatu festival tamat, akibat kekurangan aktiviti susulan. Justeru, festival kali ini turut disertai cadangan supaya kumpulan-kumpulan diberi peluang membuat persembahan di lokasi lain, termasuk mengendalikan bengkel teater di sekolah-sekolah, bagi memastikan momentum tidak terhenti begitu sahaja.

Bagi menyokong ekosistem ini secara berterusan, kerajaan turut menyediakan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada NGO dan syarikat seni budaya, dengan peruntukan tahunan sekitar RM30 juta untuk aktiviti seni termasuk teater, tarian dan muzik.

Struktur Pertandingan Mengikut Zon

FTM 2026 dijalankan secara berperingkat — bermula di peringkat negeri, kemudian dipertandingkan di peringkat zon, sebelum wakil terbaik setiap zon bertemu di peringkat kebangsaan pada tahun hadapan. Setakat penulisan ini, zon-zon yang telah pun menganjurkan pertandingan mereka ialah:

  • Zon Utara — bertemakan “Warisan, Identiti dan Ingatan Kolektif” diadakan di Auditorium Kompleks JKKN Perlis (6–10 Jun 2026)
  • Zon Selatan — bertemakan “Sejarah, Diplomasi dan Peradaban, Patriotik” diadakan di Auditorium Kompleks JKKN Melaka (15–20 Jun 2026)
  • Zon Sarawak — bertemakan “Naratif Sungai, Hutan dan Manusia” diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak (28-30 Jun 2026)
  • Zon Tengah — sedang berlangsung dan bertemakan “Manusaia, Kota, dan Kuasa” diadakan di Auditorium DBKL Kuala Lumpur (5-11 Julai 2026)
  • Zon Timur — bertemakan “Roh Alam dan Falsafah Hidup” diadakan di Auditorium Kompleks JKKN Pahang (3-12 Ogos 2026)
  • Zon Sabah — bertemakan “Suara Bumi Borneo” diadakan di Auditorium Kompleks JKKN Sabah (14-16 Ogos 2026)

Setiap zon membawa tema dan format tersendiri, namun matlamatnya sama: menjadi platform mencungkil bakat baharu sambil meraikan kepelbagaian warna dan genre dalam seni persembahan pentas teater tanah air — daripada naskhah klasik purbawara hinggalah kepada karya kontemporari yang menyentuh isu semasa.

Bahagian seterusnya blog ini akan menyelami setiap zon secara lebih dekat — kumpulan yang bertanding, naskhah yang dipentaskan, dan kisah di sebalik tirai setiap pertandingan.

Kongsi :

Teruskan Perjalanan Menyelusuri Blog Kami

Temui lebih banyak cerita, inspirasi, dan ilmu yang menghubungkan seni dan budaya dalam setiap helaian perkongsian kami.

Festival Teater Zon Utara 2026

Perak, Kedah dan Perlis Bersaing Menghidupkan Semula Seni Teater Utara Wakil negeri Perak telah mencatat

Daurah Seni 30: Kupasan Mendalam Isu ‘Imam-Imam Yang Dilarang’ Bersama PU Salman & Mawi

KUALA LUMPUR, 1 Julai 2026 – Persatuan Bina Seni dan Budaya (PERSENI) telah berjaya menganjurkan

Ziarah Rumah Qaseh Ibu: Pengalaman Penuh Keceriaan dan Kasih Sayang

Hai semua! 🌟 Harini saya nak kongsikan pengalaman yang sangat manis dan penuh makna semasa

Scroll to Top