KUALA LUMPUR, 28 Disember 2023 – Misi bersama Perseni diteruskan lagi pada hari ini dan Istimewanya hari ini adalah kerana Perseni tampil bersama Abdul Rahman bin Kasim atau siapa lagi yang tak kenal Man Raja Lawak, seorang pelawak yang terkenal di Malaysia.

Misi ziarah pada hari ini adalah ke rumah Kak Azua yang bertempat di PPR Batu Muda, Kuala Lumpur. Ini merupakan ziarah kesekian kalinya di mana Tim Perseni hadir untuk menyampaikan sumbangan kepada 3 orang anak yatim, anak saudara beliau.
Sumbangan bahan keperluan asas dan wang tunai diserahkan dengan penuh rasa kasih dan hiba. Sesi temu ramah diisi lagi dengan perkembangan hidup Kak Azua bersama anaknya sendiri dan juga anak-anak saudaranya.
Kematian ayah dan ketiadaan ibu membuat Kak Azua rasa bertanggungjawab untuk menjaga anak-anak saudaranya ini. Di sebalik senyuman yang Kak Azua dan anak-anak yatim ini lontarkan pastinya sedang menahan keperitan yang dilalui. Mana tidaknya seseorang yang kita anggap tulang belakang keluarga sendiri telah diuji sakit akibat jatuh tangga. Namun, ia tidak menjadi penghalang untuk Kak Azua berputus asa.
Beliau tetap bersemangat untuk segera sembuh dan kembali bekerja untuk menyara anak-anak dan ahli keluarga yang turut ramai diuji dengan sakit. Perseni berjaya taja 3 orang lagi anak yatim hasil sumbangan tuan puan. Jom sama-sama kita doakan kesihatan dan kesejahteraan Kak Azua serta anak-anak yatim ini.