KAJANG, 06 Jan 2024 – Misi bersama Perseni diteruskan lagi pada hari ini. Pertemuan singkat namun penuh bermakna khususnya buat kami di Perseni. Alhamdulillah, pada harini rezeki bila dapat berjumpa dengan Puan Zuhaidah, seorang ibu tunggal yang perlu menyara anak-anaknya seramai 3 orang. Bukan itu sahaja, kini beliau tinggal bersama ibu dan turut menjaganya.
Bayangkan, anak tiga orang masih lagi bersekolah dan perlu menanggungnya. Pada saat beliau sendiri memiliki sakit seperti migrain, kaki dan juga menghidap anxiety, beliau perlu kuat untuk bekerja demi anak-anak. Kepergian suami pada tahun 2020 lepas membuatnya tidak mudah lupa akan segala kenangan indah bersama arwah suami.



Anak-anak sempat berkongsi ketika ditemu ramah…
“Ayah sangat baik orangnya. Tak pernah pukul kami sepanjang hidupnya. Arwah memang akan cuba mencukupkan apa yang saya nak” – Arissa, anak sulung
“Saya rindu sangat dengan ayah sebab dia yang selalu bawa saya ke padang” – Aisyah, anak kedua
“Bila hari bapa je saya tak tahu nak tulis dan lukis apa” – Amirah, anak bongsu
“Benarlah. Arwah memang sangat baik orangnya. Arwah tak pernah pukul saya dan paling menyedihkan adalah bilamana si bongsu ini baru 2 tahun ketika itu, jadi dia yang paling kesian sebab tiada kenangan bersama ayahnya” – Ibu, Puan Zuhaidah


Allahu, titisan air mata membanjiri pipi kami semua yang mendengarnya. Anak-anak ini masih lagi kecil tetapi mereka perlu meneruskan kehidupan dan pembelajaran tanpa seorang tulang belakang lagi. Kini, ibu merekalah ayah dan ibu buat mereka.

Berkat sumbangan sahabat sekalian, hari ini kami di Perseni hadir menziarahi Puan Zuhaidah sekeluarga dengan membawa sumbangan bahan keperluan asas dan wang tunai.
Semoga Allah SWT memberi kekuatan buat keluarga kecil ini dan dimurahkan rezeki buat semua penyumbang Perseni.