BANGI, 19 Disember 2023 – Program daurah ‘Ghayatul Maram’ yang dianjurkan oleh NGO PERSENI dan PU Salman berjaya diadakan untuk kali kedua dengan penuh kehangatan dan semangat menuntut ilmu. Program yang berfokus pada fiqh imam makmum ini menarik perhatian khususnya dari kalangan tokoh seni, selebriti, dan para pempengaruh.

Antara kehadiran terkemuka adalah Fedtri Yahya, Nadir al-Nuri, Ustaz Zakiyuddin, Ebby Yus, Shah SLAM, Qowiyaro, Alif teega, Iddin Ramli, Imran Aqil serta beberapa artis dan pempengaruh lain yang turut menyertai program ini, menunjukkan sokongan mereka terhadap inisiatif keagamaan yang dijalankan oleh NGO PERSENI.

Sebagai siri kedua, program ini berlangsung di Lantana Villa sekali lagi dan telah menarik perhatian beberapa orang selebriti yang baharu sahaja mengikuti daurah pada kali ini.
Program yang bermula pada pukul 7.00 petang telah menyaksikan sambutan kehadiran yang meriah, mencipta suasana mesra di kalangan para hadirin. Selepas solat maghrib berjemaah, suasana semakin mesra dengan interaksi antara tetamu yang turut menikmati jamuan bersama.

Daurah ini secara rasmi dimulakan pada pukul 8 malam dan berlanjutan sehingga pukul 11 malam. Antara aktiviti menarik, Ustaz Qowiyaro memukau hadirin dengan bacaan al-Quran yang menginspirasi, manakala Mawi (Ikon Aktivis PERSENI) menyampaikan sebuah lagu yang bertajuk suci dalam debu.
Turut hadir dalam program ini adalah isteri dan anak kepada Iddin Ramli, begitu juga isteri para pemain bola sepak yang memberikan sokongan kepada usaha keilmuan yang dijalankan oleh NGO PERSENI dan PU Salman. Suasana terus bertukar hening dan sebak bilamana CEO Cinta Gaza Malaysia, Nadir al-Nuri diminta tampil kehadapan untuk berkongsi berkenaan P4l3stin dan perkongsian diakhiri dengan laungan takbir secara beramai-ramai. Allahu Akbar!



Program berakhir dengan solat Isyak berjemaah dan juga sesi borak santai antara Ustaz Najid dari NGO PERSENI sambil mengedarkan pamplet PERSENI. NGO PERSENI dan PU Salman berharap agar program sebegini dapat terus memberikan manfaat kepada warga seni dalam memahami aspek-aspek fiqh imam makmum dan kepelbagaian ilmu yang disampaikan.