Bangi, 28 Februari 2024 – Lantana Villa, Bangi menjadi tempat kehangatan bagi para peminat ilmu agama. Daurah ilmiah siri ketujuh ini mengambil tumpuan pada aspek puasa daripada kitab Bulughul Maram. Perkongsian ini disampaikan oleh PU Salman, yang mendapat gandingan hebat bersama Fakhrul UNIC.

Daurah kali ini telah menarik minat ramai personaliti terkenal seperti Syukri Arab, Naufal Isa, Ustaz Nabil Ahmad, Ustaz Haslin Bollywood dan ramai lagi. Ketibaan peserta yang ramai menambahkan lagi kemeriahan suasana majlis.




Dengan penuh dedikasi menyampaikan intipati daripada kitab tersebut, PU Salman memberi penekanan khusus kepada fiqh dan nilai-nilai yang dapat diperoleh melalui amalan puasa. “Puasa bukan hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum, tetapi ia juga merupakan satu latihan untuk disiplin diri dan mendekatkan diri kepada Allah SWT,” jelas PU Salman dengan penuh bersemangat.





Antara saat yang paling menyeronokkan adalah ketika sesi soal jawab daripada para peserta jemputan. Mereka tidak segan untuk bertanya mengenai pelbagai aspek puasa, dari hukum-hakamnya hingga perincian praktikal untuk mengamalkannya dengan sempurna dalam kehidupan sehari-hari.
Fakhrul, selaku moderator, turut menyumbang kepada suasana yang hidup dengan soalan-soalan yang diajukan begitu juga dengan persembahan pendek daripada anak-anak seni lainnya seperti bertaranum dan qasidah. Tidak dilupakan juga kepada Kembara Ibrah Travel dan Masjid Bandar Tun Hussein On atas penglibatan yang diberikan.





Dengan berakhirnya daurah ilmiah ini, para peserta pulang dengan hati yang penuh inspirasi dan motivasi untuk mengamalkan nilai-nilai yang mereka pelajari. Dengan berkat ilmu yang dipelajari, mereka berharap dapat membawa perubahan yang bermakna dalam kehidupan mereka serta berkhidmat kepada masyarakat dengan lebih baik.