Sungai Besi, KL – Satu ziarah yang penuh makna dalam menyantuni sebuah lagi keluarga anak yatim B40 telah dijalankan pada pagi semalam di rumah Puan Nurul Azlyna beserta 3 orang anaknya iaitu Ali, Fatimah dan Khadijah.

Dalam pertemuan itu, Pn Nurul sempat berkongsi rasa dan pendapat bahawa pentingnya para ibu tunggal diluar sana untuk terus bangkit, kuat semangat dan menerima takdir dengan ikhlas. Hal ini penting agar setiap ibu tunggal boleh mengajarkan hal yang sama pada anak-anak. Sangatlah tidak mudah dalam mendepani anak-anak yang membesar tapi dalam masa sama perlu mendengar persoalan yang tak berpenghujung dan bermacam-macam stigma daripada masyarakat luar.
Mengambil rasa tanggungjawab dengan mula aktif menulis di media sosial akaun miliknya, Pn Nurul berharap agar dapat memberikan manfaat kepada orang lain. Dari masa ke semasa, kesedaran orang ramai tentang kehidupan ibu tunggal dan anak yatim ini perlulah diperluas.


“Kadang kita tengok golongan anak yatim ini hepiii je, sedangkan kita tak tahu apa yang terkandung di hati fikiran bahkan daripada kaca mata mereka sendiri kita boleh nampak sebenarnya yang mereka sedih dan cemburu”
Menurutnya lagi, seiring waktu berjalan dan anak-anak yatim ini membesar, amatlah tidak wajar sekiranya kita masih berfikiran pendek dan menafikan apa yang mereka rasa. 𝘋𝘰𝘯’𝘵 𝘥𝘦𝘯𝘪𝘢𝘭 𝘵𝘩𝘦𝘪𝘳 𝘧𝘦𝘦𝘭𝘪𝘯𝘨𝘴. Hakikatnya mereka yang faham, apabila mengetahui tentang anak yatim sudah tentu dia tak akan lepaskan peluang untuk menyantuninya dengan baik.

Ali, anak sulung yang baharu menjejak usia remaja, walaupun ayahnya telah pergi meninggalkan dunia sejak 2021, tetap muncul rasa sedih dan rindu di hatinya setiap kali mengenangkan kenangan bersama.
Beliau berkata…2 bulan sebelum ayah meninggal, dia sempat berpesan katanya, “kalau ayah meninggal nanti, Ali bawalah jenazah ayah ke kubur ya”. Tapi sayangnya dek covid yang menyerang ayah, kami nak datang dekat pun tidak dibenarkan apatah lagi nak cium, peluk dan angkat ke kubur.
Ditambah lagi dengan kata-kata berharga daripada adik Fatimah dan Khadijah dimana mereka juga sangat merindui ayah mereka. Kini mereka hanya mampu kirimkan doa dan belajar bersungguh-sungguh agar dapat membantu ibu mereka satu hari nanti.

Kisah keluarga ini menjadi cerminan kekuatan dan harapan di tengah kesulitan, serta mengingatkan kita semua akan pentingnya empati, sokongan, dan kasih sayang dalam membangun komuniti yang lebih baik. Alhamdulillah, Perseni hadir menyerikan hari anak-anak ini kerana telah memberi kejutan kek hari jadi, hadiah dan sedikit wang tunai kepada mereka. Mari sama-sama kita doakan semoga Allah murahkan lagi rezeki kerjaya dan kesihatan buat Pn Nurul, insyaAllah.